Berita

Jangan Guna Masjid Main Politik -TENGKU ABDULLAH

Pena Editor

ROMPIN, 19 Febuari 2018 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah memberi amaran keras kepada semua pentadbir dan ahli masjid agar tidak menjadikan masjid atau surau sebagai platform ‘bermain’ politik. Tegas baginda, kesucian masjid dan surau di negeri ini perlu sentiasa dipelihara dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk penduduk yang datang beribadat.

“Saya berharap kandungan perjalanan masjid harus diatur dengan baik, bagi masjid baru pula diminta pilih ahli pentadbir yang tepat, jangan pilih yang sekadar nak guna masjid sebagai platform atau batu loncatan untuk karier (politik).

“Saya tak mahu ada berpuak-puak, ada sifat tak percaya dan kalau nak pergi masjid untuk beribadat bukan mengumpat, mencela, mengata..kalau nak juga elok keluar daripada masjid, pergi bawah pokok atau ke mana-manalah asal bukan masjid.

“Saya mahu masjid jadi benar-benar suci supaya tidak ada perasaan berbelah, rasa berbeza..orang ini topi (politik) biru, kuning, hijau. Masuk masjid perlu rasa tenang, kecualikan daripada masalah politik dan jika ada juga (salah guna) semua pihak perlu bagi kerjasama lapor pada polis atau majlis agama,” titah baginda selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah di Kampung Sungai Puteri, di sini hari ini.

Kos pembinaan masjid yang mampu menampung seramai 2,000 jemaah dalam satu masa ini menelan belanja sebanyak RM7 juta melibatkan dua fasa pembinaan. Ia dijangka siap pada September 2019.

Turut berangkat mencemar duli, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob, Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Sri Hasan Arifin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail serta barisan kepimpinan di peringkat negeri dan daerah.

Sementara itu, baginda menzahirkan rasa bersyukur dan gembira kerana dapat melihat kejayaan Islam di negeri Pahang melalui kerjasama semua pihak.

“Kejayaan ini bukan terletak pada sultan atau mufti semata-mata, tetapi jugak sokongan rakyat yang sentiasa patuh dan ikut pandangan serta arahan daripada pihak istana.

“Saya beryukur kerana boleh merasai Islam di Pahang begitu terurus..rakyat seharusnya rasa bertuah kerana disediakan masjid yang sempurna, cantik dan selesa untuk beribadah,” titah baginda.


Sumber: Portal Diraja Pahang




Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 87 kali.


Kembali ke Atas