Berita

Jangan Politikkan Isu Bantuan Banjir

Pena Editor

ROMPIN, 18 DISEMBER 2019: Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dan berusaha bagi memastikan semua bekalan untuk mangsa banjir mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato' Sri Haji Mohd Johari Hussain berkata, ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab cuba memburukkan Kerajaan Negeri kononnya ada antara Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekurangan bekalan atau terputus bekalan sedangkan perkara itu tidak berlaku.

Menurutnya, Kerajaan Negeri dan petugas-petugas pengurusan banjir yang terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan bertungkus lumus 24 jam memastikan semua bantuan dan bekalan dapat disalurkan kepada PPS terlibat dan juga mangsa.

"Tiada isu sebenarnya. Bantuan dapat disalurkan kepada mangsa dan semua PPS terlibat dengan jayanya. Malah koordinasi antara Kerajaan Negeri, agensi dan jabatan berkaitan juga berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak ke PPS di Balairaya Kampung Setajam di sini petang tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YH. Dato, Zakaria Ibrahim dan Pemangku Pegawai Daerah Rompin, YH. Dato' Zaliza Zulkipli.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman berpuas hati dengan lebihan bekalan di PPS.

Menurutnya, dengan bantuan rakan-rakan yang menghulurkan bantuan seperti menghantar daging ayam, telur, dan beberapa bantuan tambahan lain seharusnya dipuji.

“Contoh baru ni anakanda Tengku Muda Pahang membawa bantuan berlebih-lebihan di PPS. Ini satu usaha yang murni daripada pihak istana bagi membantu meringankan beban rakyat yang dilanda kesusahan.

Dalam pada itu Dato' Sri Haji Mohd Johari juga mengharapkan mereka yang terlibat banjir segera datang ke PPS untuk mendaftar diri supaya petugas senang membuat statistik dan pemantauan.

Disediakan oleh UNIT KOMUNIKASI DAN MEDIA PAHANG (UKOMP)

Oleh: Zulkhairil Zainuddin

Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 5 kali.


Kembali ke Atas