Berita

Kebersihan, Kelestarian Tanggungjawab Bersama - PEMANGKU RAJA PAHANG

Pena Editor

ROMPIN, 20 Febuari 2018 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah mengingatkan orang ramai khususnya masyarakat setempat memainkan peranan menjaga kebersihan kemudahan di sekeliling mereka. Baginda bertitah, keadaan beberapa tempat rekreasi terkenal dan kemudahan awam di negeri ini yang rosak dan tidak terjaga berpunca daripada sifat tidak cakna mereka sendiri.

“Budaya menjaga anugerah alam semulajadi dan kemudahan perlu diterapkan kerana adakala kerajaan bina kemudahan ia terbiar begitu sahaja. Jangan hanya harapkan agensi berkaitan saja yang jaga…sikap hanya biar yang diamalkan ini perlu diubah, masyarakat setempatlah yang perlu bersama-sama jaga.

“Kalau tak diubah, maka lebih banyak kerosakan dan kerugian akan berlaku pada masa akan datang. Buatlah gotong-royong dan kempen kesedaran secara berterusan..jangan buat ikut musim (jarang sekali).

‘Inilah yang saya selalu tegaskan, kelestarian dan kebersihan perlu dijaga..jangan sampai kita sendiri dapat penyakit daripada sikap tidak ambil tahu dan biar sahaja” titah baginda pada Majlis Pelancaran Tanaman Kelapa Keliling Rumah (KKR) peringkat daerah Rompin di Kampung Rantau Panjang, di sini hari ini.

Turut mencemar duli, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang,Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Hadir sama Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Sri Johari Hussien, Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Sri Hasan Arifin, Pegawai Daerah Rompin, Dato’ Mohd Zulkifli Bin Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dato’ Sri Maznah Mazlan.

Sementara itu, baginda turut menyentuh berkenaan usaha menaman pokok kelapa pandan di 1,000 buah rumah di seluruh daerah ini yang perlu diperluaskan di kawasan lain.

“Saya gembira kerana usaha memelihara alam sekitar terus dilakukan di peringkat kampung…rakyat bersama-sama jaga kelebihan semulajadi yang sedia ada di kawasan masing-masing.

“Saya berharap wakil rakyat dan pemimpin setempat terus beri perhatian terhadap usaha yang dilakukan sekaligus menyokong kelangsungan sektor perlancongan yang turut memacukan ekonomi hiliran diusahakan penduduk setempat,” titah baginda.

Pada masjlis yang sama, baginda menyampaikan kurniaan sumbangan peribadi dan Majlis Ugama Islam dan adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 38 orang penduduk daripada golongan asnaf di sini. Baginda dan Tengku Puan Pahang turut berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Tukun Tiruan Rekreasi Jenis Kuboid di perairan Rompin dan menanam pokok kelapa pandan dekat sini.


Sumber: Portal Diraja Pahang


Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 83 kali.


Kembali ke Atas