Berita

Kerajaan Negeri Pahang Kaji Semula Penempatan di Kampung Rekoh

Pena Editor

Rompin, 18 Disember 2019 - Kerajaan Negeri Pahang akan mengkaji semula penempatan 33 keluarga di Kampung Rekoh, di sini.

Kawasan terbabit akan dilihat semula sama ada bersesuaian untuk dijadikan penempatan penduduk kerana kerap terlibat banjir.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, kerajaan akan mengkaji kawasan terbabit yang melibatkan seramai 120 penduduk kerana sering terlibat banjir.

"Kerajaan Pahang akan mengkaji kawasan tersebut kerana ianya melibatkan faktor keselamatan penduduk.

"Walau bagaimanapun, perbincangan masih dijalankan dan pihak kerajaan belum memutuskan lokasi baharu untuk menempatkan lapan keluarga terbabit," katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YH. Dato, Zakaria Ibrahim dan Pemangku Pegawai Daerah Rompin, YH. Dato' Zaliza Zulkipli.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, beberapa PPS di seluruh negeri ini akan dikaji semula bagi memastikan ianya selamat dan bersesuaian dijadikan penempatan ketika banjir.

Hal ini berikutan beberapa mangsa banjir di PPS SK Pianggu yang sebelum ini ditempatkan di Dewan Kampung Desa Wawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terpaksa dipindahkan kerana PPS terlibat banjir selepas dua hari penempatan.

"Kerajaan negeri sentiasa melakukan penilaian semula pada setiap tahun bagi memastikan PPS adalah selamat untuk dijadikan penempatan sementara bagi mangsa-mangsa banjir," katanya.

Pada kunjungan tersebut, beliau turut melawat beberapa PPS di SK Pianggu dan Balairaya Kampung Setajam, di sini.

Disediakan oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)

Oleh: Fansurina Abdullah

Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi


Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 18 kali.


Kembali ke Atas