Berita

Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 Juta Bagi Baikpulih Jalan Masuk Taman Negeri Rompin

Pena Editor

ROMPIN, 15 September 2020 - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membaikpulih jalan masuk ke Taman Negeri Rompin di sini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata proses baik pulih Taman Negeri Rompin yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Negeri Endau-Rompin (TNER) akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Dalam jangka masa terdekat ini Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang telah memberikan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menaik taraf jalan masuk ke Taman Negeri Rompin ini.

“Proses baik pulih jalan ini dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh masa empat hingga lima bulan tetapi bergantung kepada keadaan cuaca kerana bulan November dan Disember musim hujan, jadi perlu dijalankan serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika melakukan lawatan ke Taman Negeri Rompin selepas menandatangani perjanjian dan merasmikan pembukaan semula Taman Negeri Rompin di sini.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hasan Arifin; Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, YH. Dato’ Mohd Ridza Awang; dan barisan exco Kerajaan Negeri.

Beliau berkata sebanyak RM15 juta peruntukan secara keseluruhan disalurkan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi menaik taraf Taman Negeri Rompin.

“Dan keseluruhan peruntukan di salurkan melalui ECERDC adalah sebanyak RM15 juta. Yang telah pun dibuat, antaranya menara tinjau. Menara ini pun adalah sumbangan daripada Kerajaan daripada ECERDC.

“Antara infrastruktur dan kemudahan asas lain adalah seperti Pusat Penemuan Kajian Hutan Kincin, kaunter tiket, dewan serbaguna, kafeteria, tandas awam, makmal penyelidikan dan banyak lagi,” katanya.

Taman Negeri Rompin yang terletak di dalam sebahagian Hutan Simpan Endau Rompin ini telah ditubuhkan pada 7 Disember 2000 dengan keluasan 31,797 hektar dan telah ditutup selama tiga tahun bermula Ogos 2016 bagi kerja penaiktarafan. – PAHANGMEDIA

*Sumber : https://pahangmedia.my/kerajaa...

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 3 kali.


Kembali ke Atas