Berita

Kerajaan Pahang Berjaya Capai Sasaran KPI

Pena Editor

ROMPIN, 18 Disember 2019 - Kerajaan Pahang berjaya mencapai sasaran Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) yang digariskan pada tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, lima KPI itu ialah pencapaian dari segi hasil, kemiskinan sifar, pembagunan, tanah dan kewangan.

"Kita telah berjaya mencapai hampir seratus peratus sasaran untuk setiap KPI kerana komitmen dan usaha sama daripada semua penjawat awam di negeri ini," katanya pada Majlis Perjumpaan Setiausaha Kerajaan Pahang bersama Pegawai dan Kakitangan Pejabat Daerah Rompin, Majlis Daerah Rompin dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) di Hotel Seri Malaysia, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato Mohd Zakaria Ibrahim dan pemangku Pegawai Daerah Rompin, YH. Dato' Zaliza Zulkipli.

Pada majlis itu juga, YB. Dato' Sri Dr. Sallehuddin turut menyaksikan serah terima tugas Pegawai Daerah Rompin oleh YH. Dato' Zaliza kepada Pegawai Daerah Rompin baharu iaitu En. Ahmad Nasim Mohd Sidek.

Turut berlangsung perlantikan Pengurus Besar TDA baharu, En. Mohamed Rashdan Mohamed Razali.

Dalam perkembangan lain, YB. Dato' Seri Dr. Sallehuddin berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Pejabat Daerah Kecil di Muadzam Shah.

Ia bertujuan memudahkan urusan rakyat setempat untuk menyelesaikan segala hal berkaitan dengan mudah.

"Kerajaan negeri mahu memudahkan penduduk dalam menguruskan urusan masing-masing di pejabat daerah kerana jarak mereka untuk ke Kuala Rompin melebihi 100km dan tidak berpadanan dengan urusan yang ingin dibuat.

"Sebarang kemudahan yang ada di Kuala Rompin terdapat juga di Muadzam Shah. Jadi saya merasakan kewujudan pejabat daerah kecil ini amat bertepatan dalam membantu memudahkan urusan rakyat setempat," katanya.

Pejabat daerah kecil itu akan mula beroperasi pada 1 Januari 2020 dan penduduk di Muadzam sehingga Selancar dapat berurusan di sana.


Disediakan Oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP

Oleh: Fansurina Abdullah

Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi


Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 32 kali.


Kembali ke Atas