Berita

Pemangku Raja Hadiri Taklimat Pembangunan Rompin

Pena Editor

ROMPIN, 19 Febuari 2018 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat ke Pejabat Daerah dan Tanah Rompin hari ini. Baginda tiba pada pukul 11.00 pagi bagi mendengar taklimat berkenaan pembangunan daerah Rompin yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Rompin, Dato’ Mohd Zulkifli Bin Hashim.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, Exco-Exco, wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan negeri Pahang. Baginda berada di daerah Rompin selama dua hari untuk lawatan kerja.

Pada majlis santapan, baginda berkenan menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan kepada 10 orang anggota daripada agensi penyelamat yang terlibat dalam usaha menyelamat dua orang nelayan yang hilang di perairan laut Pulau Tioman dan perairan Pulau Jemaja, Indonesia.

Baginda turut menyampaikan kurniaan sumbangan kepada dua nelayan terlibat dan keluarga mereka sebagai tanda simpati dan pencetus semangat untuk mereka meneruskan kehidupan dan turun ke laut sebagai nelayan seperti biasa.


Sumber: Portal Diraja Pahang


Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 101 kali.


Kembali ke Atas