Berita

Pemangku Raja Pahang Mahu Kebajikan Rakyat Dipelihara

Pena Editor

ROMPIN, 25 Mei 2018 bersamaan 9 Ramadan 1439H – Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah bertitah agar kerajaan yang baru ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memelihara kebajikan rakyat dan sentiasa diberi keutamaan.

Baginda bertitah, aspek perumahan merupakan antara kebajikan rakyat yang perlu dititikberatkan oleh kerajaan kerana ia amat penting terutamanya kepada mereka yang baru ingin memulakan kehidupan.

“Masalah air dan elektrik di seluruh pelusuk negeri juga perlu diperhalusi…saya amat mementingkan hal-hal seperti itu kerana ia membabitkan kebajikan dunia untuk rakyat,” titahnya pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Iman Kampung Leban Chondong di sini, hari ini.

Tengku Abdullah turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan peribadi baginda dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 120 orang penduduk kurang berkemampuan dan kanak-kanak pada majlis itu.

“Mudah-mudah dengan sedikit sumbangan yang dihulurkan ini dapat meringan beban ketika bulan Ramadan”, titah baginda.

Penerima terdiri daripada asnaf fakir miskin, anak-anak yatim, orang kurang upaya dan ibu tunggal, masing-masing menerima wang tunai RM300 seorang dan kuih muih raya.

Turut hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Mohd Johari Husin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Abdul Rahim Muda dan Pegawai Daerah Rompin, YH Dato’ Zulkifli Hashim.

Di samping itu, Tengku Abdullah turut meminta rakyat mensyukuri nikmat yang membolehkan mereka menjalankan ibadat puasa dan mengimarahkan bulan suci ini.

“Kita harus bersyukur kerana hidup dalam keadaan harmoni, kalau kita dapat rasai kesengsaraan mereka yang tinggal di Timur Tengah seperti Palestin dan Syria dalam menghadapi Ramadan.

“Kita harus mensyukuri segala nikmat Allah”, titah baginda.

Sebelum menakhiri titah, baginda mengajak rakyat mempertingkatkan ibadah dengan menunaikan solat fardu berjemaah di masjid dan surau disamping mendirikan solat sunat lain, solat terawih, solat witir, Qiamulai dan membaca Al-Quran terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.

“Jangan lupa kewajipan membayar zakat di bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama berdoa semoga amal jariah kita mendapat keberkatan di dunia dan akhirat,” titah baginda.

Turut memuliakan keberangkatan Pemangku Raja, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad, Ahli Parlimen Rompin, YB Dato’ Sri Haji Hassan Ariffin, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman, Adun Muadzam Shah dan Adun Bukit Ibam.

Sumber: http://www.dirajapahang.my/por...


Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 52 kali.


Kembali ke Atas