Berita

Pemangku Raja Pahang Sertai Billfish International Challenge 2018

Pena Editor

ROMPIN 15 September 2018 Bersamaan 5 Muharam 1440 Hijrah – Cabaran memburu ikan layaran ‘Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) pada tahun ini lebih bermakna dengan penyertaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Baginda mencemar duli merasmikan pertandingan “Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2018″ yang berlangsung 14 hingga 16 September pada pukul 8.30 pagi sebelum turut sama menaiki bot untuk memburu ikan berkenaan.

Ini merupakan penyertaan kali kedua baginda dalam aktiviti tahunan bertaraf antarabangsa anjuran Kerajaan Negeri Pahang, Lembaga Perbadanan Tioman (TDA), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang dengan kerjasama Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) selepas tahun 2009.

Bermula di jeti Pantai Bernas, cabaran kali ini melibatkan penggunaan 25 buah bot di mana kesemua 75 peserta gagal menyembunyikan riak teruja bagi memulakan cabaran bertarung dengan ikan layaran selepas acara pelepasan dilakukan seawal jam 8.30 pagi.

Hadir sama pada majlis perasmian, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji,Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pahang, Datuk Edros Yahaya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Sharkar Shamsudin serta Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.

Kehebatan ikan layaran menarik peminatnya yang tersendiri dan golongan pemancing menyifatkan layaran sebagai spesies ‘game fish’ yang ganas, mencabar, kuat bertarung serta diletakkan dalam kumpulan pelagik.

Fizikal layaran yang berbentuk panjang dengan satu paruh runcing dan tajam di bahagian depan serta memiliki struktur isi berdaging mampat dan pejal atau kenyal.

Isinya tidak mempunyai nilai pasaran yang tinggi tetapi ikan ini terkenal kerana tentangan hebat yang diberikan ketika memakan umpan pada joran dan ada di antaranya memakan masa antara 30 minit hingga 1 jam 30 minit untuk menaikkan ikan ini.


sumber: http://www.dirajapahang.my/por...


Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 59 kali.


Kembali ke Atas