Berita

Pusat Pentadbiran Pulau Tioman Bakal Tempatkan Semua Jabatan Kerajaan Negeri Di Bawah Satu Bumbung

Pena Editor

ROMPIN, 21 September 2020 - YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr. Salehuddin bin Ishak baru-baru ini diiringi Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Haji Mohd Johari bin Haji Hussain yang juga Ahli Dewan Negeri Tioman telah mengadakan mesyuarat dan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan pelaksanaan Pusat Pentadbiran Pulau Tioman di sini.

Pusat Pentadbiran Pulau Tioman yang dibina di Kampung Tekek ini dijangka siap dalam masa 2 tahun akan datang dan bakal menempatkan semua Jabatan Kerajaan Negeri di bawah satu bumbung.

Ia bagi memudahkan penduduk di Pulau Tioman melakukan pelbagai urusan tanpa perlu ke tanah besar. Ia juga dapat memberi keselesaan dan menjimatkan masa serta perbelanjaan penduduk di sini. Buat sementara waktu, segala urusan penduduk melibatkan Kerajaan Negeri dilakukan di pejabat yang terletak di Kompleks Bebas Cukai di sini.

Dengan pertambahan penduduk dan kemasukkan pelancong yang semakin meningkat, pembinaan pejabat baharu Pusat Pentadbiran Pulau Tioman ini amatlah tepat pada masanya dan mampu memacu lebih banyak kemajuan dan kejayaan di Pulau Tioman.

Turut hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato' Mohd Zakaria bin Ibrahim; Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman, Encik Mohamed Rashdan bin Mohamed Razali; Pegawai Daerah Rompin, Ahmad Nasim bin Dato Haji Mohd Sidek dan Pegawai JKR Pahang.

Semoga segala urusan dan usaha Kerajaan Negeri Pahang memajukan Pulau Tioman dipermudahkan dan mendatangkan banyak kebaikan kepada penduduk disini.


Disediakan oleh
Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (PSUK)


Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 5 kali.


Kembali ke Atas