Berita

YAM Tengku Muda Pahang Ceriakan Pelajar Tahfiz Dan Anak-Anak Yatim

Pena Editor

ROMPIN 16 Mei 2019 Bersamaan 12 Ramadan 1440H – Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah meraikan pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Aljauhari Kampung Sabak dan anak-anak yatim dalam satu majlis iftar Ramadan di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda memperlihatkan keceriaan diwajah pelajar-pelajar tahfiz dan anak-anak yatim yang amat teruja dapat peluang berbuka puasa bersama kerabat diraja Pahang. Lebih bermakna lagi, apabila mereka turut menerima pengurniaan sumbangan daripada YAM Tengku Muda Pahang pada majlis santai yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Penerima kurniaan peribadi baginda terdiri daripada 300 orang anak-anak yatim dan 65 orang pelajar Maahad Tahfiz. Baginda turut berkenan menyempurnakan kurniaan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 29 orang mangsa ribut di daerah Rompin.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 6.30 petang disambut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia ,Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Johari Bin Haji Hussain dan Pegawai Daerah Rompin, Yang Hormat Dato’ Mohd Zulkifli Hashim.

Yang Amat Mulia Tengku Abdul Rahman kemudiannya turut berjemaah menunaikan solat fardu maghrib di surau Maahad Tahfiz tersebut. Turut memuliakan keberangkatan baginda dimajlis tersebut Yang Berhormat Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Sri Haji Hasan Ariffin, Ahli Dewan Undang Negeri Muadzam Shah, Ir. Razali Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam, Datin Syamsiah Arsyad dan Yang Hormat Dato’ Setia Wangsa, Dato’ Haji Mustafar Abu Bakar.


Sumber: http://www.dirajapahang.my/por...



Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 24 kali.


Kembali ke Atas